TEKS UCAPAN KETUA MENTERI SABAH, Y.A.B. DATUK MUSA
HJ. AMAN, SEMPENA PERTANDINGAN PIDATO PENCEGAHAN RASUAH PRA-U PERINGKAT
NEGERI SABAH PIALA KETUA MENTERI TAHUN 2003, DI DEWAN SMK BEAFORT 1,
BEAUFORT, PADA 18 OGOS 2003
(Disampaikan oleh YB. Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin,
Timbalan Ketua Menteri/Menteri di Jabatan Ketua Menteri)
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak
Jawatankuasa Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah PRA-U Peringkat
Negeri Sabah kerana mengundang saya ke pertandingan ini dan seterusnya
merasmikan penutupan Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah PRA-U
Peringkat Negeri Sabah ini.
Saya juga merakamkan penghargaan kepada pihak
penganjur bersama iaitu Badan Pencegah Rasuah Negeri Sabah dan Jabatan
Pendidikan Negeri Sabah atas kejayaan menganjurkan pertandingan yang
sesungguhnya amat baik ini.
Negara kita sekarang sedang menempuh arus
perkembangan Teknologi Maklumat (IT) dan juga globalisasi. Justeru,
golongan remaja sekarang khususnya golongan pelajar perlulah
melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan bagi mengharungi cabaran di
alaf baru ini.
"Golongan Pelajar Adalah Merupakan Aset Yang Paling Berharga Dan Amat Penting Kepada Negara".
Maka dengan itu sudah sewajarnyalah aset ini perlu
diberi bimbingan, diberi peluang dan diketengahkan dengan harapan mereka
dapat memimpin negara dengan lebih baik dan seterusnya mengharumkan
nama ‘Malaysia’ di mata dunia.
Dalam hal ini pemimpin-pemimpin pada hari ini yang
akan mewariskan kepimpinan negeri atau negara kepada golongan pelajar
ini perlulah menunjukajar mereka agar sentiasa sedar dan peka akan
tanggungjawab mereka pada masa akan datang bagi memperjuangkan wadah
pemimpin sekarang dan seterusnya membangunkan negara pada masa depan.
Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah Pra-U pada hari
ini adalah merupakan satu titik permulaan yang patut diberi pujian; bak
kata pepatah Melayu "Melentur Buluh Biarlah Daripada Rebungnya". Justeru, bakat dan ketokohan dalam bidang Pidato perlulah dipupuk dan disemai dari awal lagi.
Pemimpin-pemimpin negara kita sangat-sangat disanjung
oleh pemimpin-pemimpin negara luar kerana kebolehan berucap dalam
persidangan yang besar.
Oleh yang demikian, saya berharap para peserta
pertandingan ini dapat menjadikan pemimpin-pemimpin kita sebagai ilham
dalam pertandingan Pidato ini.
Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah Pra-U Peringkat
Negeri Sabah pada hari adalah bagi merebut Piala Pusingan Ketua Menteri
Sabah. Oleh yang demikian, bagi para peserta yang telah berjaya saya
mengucapkan tahniah dan syabas;
Bagi para peserta yang tidak berjaya, janganlah
berputus asa dan terimalah program pertandingan ini sebagai satu medan
menimba pengalaman dan memperbaiki kelemahan-kelemahan secara positif.
Saya difahamkan bahawa Johan Pidato Pra-U, Peringkat
Negeri Sabah pada hari ini akan mewakili negeri Sabah ke Pertandingan
Pidato Pra-U Peringkat Kebangsaan di Putrajaya.
Oleh itu, marilah kita sama-sama berdoa dan memberi
sokongan moral agar wakil kita akan dapat berjuang seterusnya dan
mengharumkan nama ‘Sabah’ di peringkat Kebangsaan.
Dengan semangat yang padu ini di kalangan kita, saya
dengan harapan yang tinggi dan sukacitanya merasmikan penutupan
Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah Pra-U Peringkat Negeri Sabah
sempena Piala Ketua Menteri Sabah bagi Tahun 2003.
Sekian. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.